fb fb fb fb fb

Gangguan liputan internet di Tawau pulih, hasil tindakan segera

Foto Facebook Datuk Fahmi Fadzil

TAWAU, 7 September – Gangguan perkhidmatan telekomunikasi di Tawau susulan masalah bekalan elektrik berjaya diselesaikan dengan pantas oleh penyedia perkhidmatan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, tinjauan telah dilakukan ke atas pengoperasian Menara JENDELA di Kampung Kuala Merotai mendapati liputan telekomunikasi kini kembali pulih hasil tindakan segera pihak terlibat.

"Alhamdulillah, aduan tersebut telah diselesaikan dan liputan berjaya dipulihkan. Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan maklumat berkenaan," menurutnya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Bagi memastikan gangguan sama tidak berulang, penyedia perkhidmatan telah diarahkan menyediakan kuasa sokongan seperti generator serta menambah kapasiti bateri sedia ada sehingga mampu membekalkan kuasa selama lapan jam.

Menara JENDELA yang mula beroperasi pada 27 September 2024 itu menggunakan 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, manakala pengoperasiannya diuruskan oleh Redtone.

Menurut hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS, menara berkenaan mampu menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G serta memberi manfaat kepada kira-kira 1,200 penduduk di kawasan itu.

"Ini membuktikan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat terus menikmati liputan telekomunikasi yang stabil dan berkualiti," tambah kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI