fb fb fb fb fb

Kerajaan perkukuh mekanisme pemantauan, pastikan bekalan mencukupi

Menteri Komuniksdi, Datuk Fahmi Fadzil meninjau di sebuah pasar raya di Semarak. / Foto FACEBOOK FAHMI FADZIL

TAWAU, 7 September - Kerajaan akan memperkukuh mekanisme pemantauan bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas, khususnya beras, sentiasa mencukupi untuk memenuhi permintaan rakyat melalui program Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pemantauan tersebut akan menggunakan data masa nyata bagi mengenal pasti produk yang paling banyak dibeli, sekali gus memastikan tiada gangguan bekalan di pasaran.

"Mengenai stok bekalan barang-barang, pengusaha memaklumkan beberapa produk yang sangat diminta adalah beras. Kita dapati stoknya habis. Jadi mungkin saya akan maklumkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memastikan bekalan beras perlu ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan SARA di sebuah pasar raya di Merotai, di sini.

Datuk Fahmi berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme stok bekalan, menambah lokasi penebusan serta memperkukuh sistem MyKasih bagi mengimbangi permintaan dan bekalan di lokasi tertentu.

Beliau turut menegaskan perlunya saluran maklumat yang jelas kepada pengusaha kedai dan juruwang, termasuk menyediakan talian hotline sekiranya berlaku gangguan sistem.

Menurutnya, perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan akan dibuat dalam mesyuarat Kabinet bagi mencari mekanisme terbaik.

Secara keseluruhannya, beliau menyifatkan pelaksanaan SARA dalam keadaan baik, namun aspek bekalan barangan keperluan asas dan capaian lokasi penebusan perlu ditambah baik demi manfaat rakyat.

Menerusi SARA, setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas layak menebus barangan keperluan asas bernilai RM100 hingga 31 Disember ini.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI