fb fb fb fb fb

Melaka tunggu laporan penuh masalah air surut di Jeti Pangkalan Pantai Siring

Pantai Siring/ BERNAMA

KRUBONG, 7 September - Kerajaan Negeri Melaka masih menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa terlibat berhubung masalah air surut yang berlarutan sejak lebih empat tahun lalu, di Jeti Pangkalan Pantai Siring, Umbai. 

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin berkata, tindakan lanjut akan diambil sejurus laporan berkenaan diterima.

"Saya masih belum menerima laporan yang lengkap dan akan meminta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran untuk memberikan laporan khusus berhubung perkara ini.

"Pada Ogos, saya bersama Ketua Menteri Melaka turun ke Pantai Siring. Saya yakin dan percaya isu melibatkan para nelayan di kawasan tersebut, dan kita akan melihat langkah yang perlu diambil bagi mengatasinya. Insya-Allah, saya akan mendapatkan laporan penuh tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Negeri Melaka di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini.

Terdahulu, lebih 50 nelayan dan pengusaha bot pelancong di Jeti Pangkalan Pantai Siring, Umbai mendesak pihak berwajib mengambil tindakan segera berhubung masalah berkenaan.

Mereka mendakwa masalah itu menyebabkan sampan dan bot tidak dapat keluar masuk kerana muara dipenuhi lumpur ekoran kerosakan sistem pintu air.

Dalam perkembangan lain, Datuk Rais memaklumkan bahawa Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat DUN Paya Rumput akan dijadikan sebagai acara tahunan negeri itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI