KAJANG, 19 Disember - Penduduk Kampung Sungai Ramal Dalam kini menikmati kemudahan balai raya yang lebih selesa dan lengkap selepas dinaik taraf melalui program Kampung Angkat MADANI yang diselia Jabatan Penyiaran Malaysia.
Ketua Kampung, Kamsari Nor, berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi penekanan kepada pembinaan fizikal dan penambahbaikan infrastruktur, malah turut memfokuskan pengisian berterusan bagi memperkasa komuniti setempat.
“Balai raya ini juga dijadikan lokasi bagi kelas Bahasa Inggeris kepada penduduk setempat, hasil usaha inisiatif Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman. Hajat kami sebagai jawatankuasa kampung adalah memastikan setiap usaha naik taraf memberi manfaat kepada seluruh penduduk.
"Apabila kemudahan ini siap, ibarat ‘buah durian yang masak ranum’, kita semua dapat menikmatinya bersama. Semua aktiviti yang dijalankan di sini selepas ini akan dipulangkan manfaatnya kembali kepada komuniti," katanya.
Kamsari Nor berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serahan Kampung Angkat MADANI di kampung berkenaan hari ini.
Program tersebut merupakan langkah strategik bagi memperkukuh infrastruktur selain memperkasakan komuniti, terutamanya dalam aspek pendidikan, aktiviti sosial, dan pembangunan kemahiran penduduk setempat.