KEMAMAN, 15 November- Kira-kira dua ratus penduduk di Kampung Padang Lalang, Felda Neram Satu, Kemaman, hidup dalam kebimbangan susulan sekumpulan gajah liar berkeliaran di kawasan kediaman mereka.
Kehadiran gajah liar sejak Selasa llau itu telah merosakkan pelbagai jenis tanaman dan struktur pagar kebun penduduk menyebabkan mereka kerugian puluhan ribu ringgit serta menjejaskan pendapatan penduduk.
Penduduk mendakwa, serangan binatang liar itu adalah kali pertama membabitkan kawasan kediaman mereka kerana sebelum ini haiwan itu sering dilihat di dalam kawasan ladang kelapa sawit.
Seorang penduduk, Amran Ghazali, 53, berkata pada hari kejadian dia dan isterinya terdengar sesuatu bunyi bising di belakang rumahnya dan menyangkakan ianya adalah bunyi seekor kerbau.
Amran berkata, selepas melihat dari jarak lebih dekat, bunyi berkenaan adalah seekor gajah dewasa yang sedang merosakkan tanaman kelapa sawitnya sebelum memaklumkan perkara itu kepada jiran.
"Keselamatan, memang bimbanglah, sebab kalau dia dah naik minyak atau agresif, itulah yang menumbulkan ketakutan,"kata Amran.
Kejadian gangguan gajah liar itu juga turut menyebabkan penduduk, Fatimah Mamat kini dalam keadaan trauma untuk keluar dari rumah walaupun siang hari kerana bimbang akan diganggu haiwan berkenaan.
"Jadi bimbang, waktu siang tidak boleh buat apa-apa, semua jadi takut, selama duduk di sini, ini kali pertama perkara sebegini terjadi, sejak tahun 1978,"kata Fatimah.
Seorang lagi penduduk Mohamad Ali berkata, kejadian gajah masuk ke kawasan rumah mereka adalah pengalaman kali pertamanya selepas lebih empat puluh tahun menetap di kawasan itu.
"Umur saya 45 tahun, duduk sini tidak pernah lagi kejadian gajah liar datang ke sini, jadi semua naik risau, saya harapo pihak berkuasa buat sesuatu,"katanya.
Penduduk bimbang kerana haiwan itu masih berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan dan boleh masuk ke kawasan perumahan penduduk.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berkaitan dan sedang dalam tindakan mereka.