JELI, 22 Jun- Kira-kira 1,000 penduduk di daerah Jeli, Kelantan menyerbu Jualan Agro Madani yang diadakan di perkarangan Pertubuhan Peladang Kawasan Jeli, sejak jam 8.00 pagi tadi.
Mereka mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga lebih murah berbanding pasaran.
Seorang pengunjung, Nur Aminah Ismail berkata, program seumpama itu perlu dianjurkan dengan lebih kerap agar dapat meringankan beban setiap isi rumah.
Katanya, dengan adanya Jualan Agro Madani, ia membuka peluang kepada penduduk mendapatkan barangan harian dengan harga yang lebih murah.
"Masa saya sampai itu pun banyak barang. Maknanya ada sambutan, jadi boleh buat lagi kalau ada peluang. Buat selalu pun bagus, kira beri peluang orang kampung. Dengan kos sara hidup sekarang memang mereka ambil sungguh-sungguh peluang ini," kata pengunjung, Nur Aminah Ismail.
"Memang rendah daripada pasar raya dan kedai runcit, jauh lebih rendah. Maknanya boleh jimat banyak," kata Che Rohaidawati Che Daud
"Saya rasa rakyat boleh terima dengan jualan begini. Saya rasa boleh buat selalu. Orang berbelanja untuk beli barang keperluan rumah dalam jumlah yang banyak sekiranya ada jualan murah," kata Khalifah Husin.
Sementara itu Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri Kelantan, Mohd Hanifa Awang Su berkata Jualan Agro Madani di daerah Jeli merupakan sambungan kepada program yang telah dibuat di beberapa kawasan sebelum ini.
Katanya, sambutan yang diterima sangat menggalakkan kerana harga barangan yang dijual 10% hingga 30% lebih murah berbanding harga pasaran.
"Sangat menggalakkan dan rata-rata daripada ahli Peladang kita ni meminta supaya diadakan lagi program sebegini. Jadi insya-Allah kita akan melihat keperluan ini untuk kita bawa ke peringkat atasan," kata Mohd Hanifa.
(Mohd Hanifa berkata penduduk Jeli mahu Jualan Agro Madani kerap diadakan)