(Penduduk, Idaroyani Iderus)
HULU SELANGOR, 8 Julai- Peneroka FELDA Gedangsa, Hulu Selangor menyifatkan inisiatif dan insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mampu meningkatkan taraf hidup dan menjaga kebajikan golongan itu.
Insentif yang meliputi infrastruktur, kesihatan, pendigitalan dan perumahan itu dapat membantu meningkatkan pendapatan komuniti peneroka.
Menurut penduduk, Idaroyani Iderus, dia amat bersyukur dengan pemansuhan hutang peneroka sebanyak 80 peratus sekali gus dapat meringankan beban hutang mereka.
"Kita memang mengharapkan inisiatif pemansuhan itu dilaksana. Majoriti kami, ibu bapa sudah meninggal dunia, namun, saya rasa tidak wajar pula generasi kedua pula perlu menanggung beban hutang itu. Jadi, kami memang berharap sangat ia dimansuhkan," kata Idaroyani Iderus kepada pemberita.
Pengumuman inisiatif pembinaan 12 pusat hemodialisis dan pemasangan 37,012 lampu jalan di semua kawasan FELDA turut menggembirakan warga peneroka FELDA Gedangsa.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan berhubung kemudahan pusat dialisis. Sememangnya, ramai warga Felda amat memerlukan kemudahan kesihatan itu, jika tidak kami perlu ke pusat dialisis milik kerajaan di luar lah. Dengan wujudnya inisiatif ini, ia akan membantu kami mengurangkan kos pembayaranlah," kata Zainudin Ibrahim kepada pemberita RTM.
"Inisiatif pemasangan lampu jalan itu adalah sangat bagus. Bila ada lampu, kita boleh elak kemalangan selain keselamatan pun terjaga. Kami bekerja ada yang pulang pada malam hari, kalau motorsikal rosak malam-malam pun susah hati juga," luah B. Lakshmanan.
(Penduduk FELDA Gedangsa, B. Lakshmanan)
Selain itu, peneroka FELDA turut menyatakan hasrat kepada kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan kenaikan pendapatan bulanan warga itu.