fb fb fb fb fb

Penduduk bimbang keselamatan, ekoran ada tahanan etnik Rohingya masih bebas

BANDAR BAHARU, 25 April - Penduduk di sekitar kawasan Depot Tahanan Imigresen Relau menyuarakan kebimbangan mengenai tahap keselamatan mereka ekoran terdapat tahanan etnik Rohingya yang masih bebas selepas meloloskan diri dalam insiden rusuhan pada 20 April lalu.

Kebimbangan itu disuarakan mereka ketika mengadakan perjumpaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Nor di hadapan depot berkenaan.

Menurut Norsabrina, kebanyakan penduduk kini sedang melakukan persiapan untuk menyambut hari rayaAidilfitri yang bakal menjelang tiba dalam tempoh seminggu sahaja lagi.

Malah ramai saudara mara akan pulang ke kampung halaman bermula hujung minggu ini.

Justeru beliau berharap, pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat melakukan pemantauan atau rondaan lebih kerap terutama di kawasan-kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

(Norsabrina melawat situasi di dalam depot terbabit bagi
mendapat gambaran yang lebih jelas berkaitan insiden berkenaan)

Beliau bagaimanapun berkata, situasi ketika ini adalah tenang dan terkawal dan tiada kemalangan mahupun insiden melibatkan petugas keselamatan serta penduduk kampung setakat ini.

Pada masa sama, beliau turut memuji inisiatif yang diambil segelintir penduduk iaitu secara sukarela menyertai operasi mencari tahanan yang masih belum ditemui.

Dalam kejadian awal pagi 20 April lalu seramai 528 tahanan di depot berkenaan merusuh dan melarikan diri.

Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Setakat semalam 456 orang berjaya ditahan semula.

Manakala bakinya sedang diburu polis.

Media Baharu