(Van membawa jenazah allahyarham bekas Ketua Setiausaha Negara tiba di kediamannya di Presint 10, Putrajaya)
PUTRAJAYA, 25 April-Jenazah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi untuk dikebumikan di sini, hari ini.
Jenazah yang tiba dari Dublin, Ireland di KLIA kira-kira pukul 6.30 pagi tadi, kemudian dibawa ke kediaman allahyarham di Presint 10, di sini, menggunakan kenderaan jenazah dengan diiringi ahli keluarga dan polis pengiring.
Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan jenazah akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3, di sini, untuk penghormatan terakhir yang akan berlangsung di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni bermula pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari.
Katanya, pelawat yang ingin memberikan penghormatan terakhir dinasihatkan tiba mengikut waktu ditetapkan sebelum upacara pengebumian.
"Jenazah akan disembahyangkan selepas solat Zohor di Dewan Solat Utama sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20 pukul 1.30 petang, sejurus selesai solat jenazah bagi tujuan pengebumian," katanya.
(Ketibaan jenazah disambut suasana sedih ahli keluarga terdekat serta sahabat handai arwah yang tiba sejak awal pagi)
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka hadir memberi penghormatan terakhir dan solat jenazah pukul 9.30 pagi di kediaman allahyarham di sini.
Allahyarham Ali, 65, yang berasal dari Kluang, Johor meninggal dunia pada 21 April lalu di Hospital Dublin, Ireland.
Beliau berkhidmat sebagai KSN ke-13 selama enam tahun dari 2012.