KOTA BHARU, 25 April - Seramai 250 anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan ditugaskan sepanjang masa dalam Ops Selamat yang akan bermula pada 29 April ini.
Ini bagi mengawal lalu lintas di jalan utama bandar Kota Bharu, kawasan tumpuan dan pintu masuk ke Kelantan serta memastikan kelancaran trafik yang dijangka berlipat kali ganda bermula minggu ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata unit lain turut dikerahkan untuk membantu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Traffik negeri termasuk penggunaan unit ronda bermotosikal (URB) dan kereta peronda.
Beliau berkata pihaknya turut menempatkan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik (JSJN) iaitu bukan sahaja bagi membantu mengawal kesesakan lalu lintas tetapi juga mencegah aktiviti jenayah yang lain.
(Shafien bercakap dalam sidang media sempena
Majlis Iftar Perdana di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan)
"Anggota trafik boleh dikatakan kita menggunakan 100% anggota trafik. Ini terutama dalam kita mengawal lalu lintas di sempadan negeri dan juga di pusat bandar. Kalau kita hari ni pun (semalam) jumlah kenderaan yang berada di negeri Kelantan sudah meningkat. Jika dilihat di sekitar Wakaf Che Yeh keadaan trafik sudah tidak bergerak. Jadi ini bermakna bukan sahaja rakyat Kelantan, rakyat Kelantan yang berada di luar sana juga sudah sudah kembali ke negeri ini," kata Shafien di sini.
Pada program tersebut 100 anak yatim dan anak istimewa selain anggota pesara dirai dengan menerima bantuan sumbangan daripada warga polis Kelantan dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi meringankan beban dalam menyambut Shawal ini.
Mengulas lanjut Shafien berkata rondaan di sempadan juga akan dipertingkatkan bertujuan memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan dapat dibanteras.