fb fb fb fb fb

Aidilfitri: Cuti 431 pegawai, anggota polis trafik Pahang dibekukan

PEKAN, 24 April- Polis trafik Pahang akan memberi tumpuan kepada dua laluan utama yang kerap berlaku kemalangan dan kesesakan ketika musim cuti Aidilfitri ini.

Berikutan itu, kesemua 431 anggota dan pegawainya dibekukan cuti bagi memastikan kelancaran trafik di laluan-laluan utama bermula Jumaat ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh @ Mohamad Daud berkata, anggotanya akan beri lebih tumpuan dengan melakukan rondaan untuk mengurangkan kemungkinan berlaku kesesakan trafik di laluan-laluan utama tersebut.

"Untuk sekatan mungkin kita tak buat banyak cuma kita lebih kepada rondaan untuk memastikan kurangnya berlaku kemalangan terutama di laluan laluan 'hotspot' kita yang kita jangkakan ataupun berdasarkan statistik yang lepas kawasan kerap kemalangan kita akan letakkan rondaan. Kemudian di kawasan yang kerap berlaku kesesakan terutama di Bentong laluan Raub..kita letakkan rondaan bermotosikal bagi memastikan kesesakan tu dapat diatasi dengan kadar segera," katanya.

Kamarulzaman berkata demikian pada Majlis pelancaran Pra Op Selamat 2022 Kontinjen Pahang di Jambatan Sultan Abu Bakar menghala ke bandar Pekan, Pahang.


(Kamarulzaman (kanan) memasang pelekat kempen Op Selamat kepada kereta pengguna jalan raya semasa melancarkan Pra Op Selamat tahun 2022 Kontinjen Pahang di Jambatan Sultan Abu Bakar.

Beliau berkata, polis juga bertanggungjawab menguraikan kesesakan trafik yang berlaku di laluan di daerah Bentong, Raub, Lipis menghala ke Kelantan manakala dari Johor Bahru ke Pahang melalui Rompin, Muadzam Shah dan Keratong.

"Dalam tempoh itu, walaupun kita berfungsi sebagai penyurai kesesakan tetapi jika terdapat mereka yang melakukan kesalahan seperti memotong garisan kecemasan, memotong lorong secara berbahaya, melanggar lampu isyarat atau tidak mematuhi syarat lalu lintas, kita akan ambil tindakan tegas bagi memastikan kelancaran Op Selamat dan keselamatan pengguna jalan raya lain," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai Pra Op Selamat yang dilancarkan, Kamarulzaman berkata, kempen itu diadakan bagi memberi advokasi kepada pemandu kenderaan supaya memandu secara berhemah dan lebih bertimbang rasa.

Media Baharu