KUALA LUMPUR, 15 November – Pihak pembangkang tidak wajar mempolitikkan isu berkaitan pendirian Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel.
Geostrategis, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Azmi Hassan berpandangan tindakan itu boleh meruntuhkan iltizam kerajaan untuk terus lantang dalam mempertahankan kedaulatan Palestin.
Beliau menyifatkan keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin sebagai tidak boleh disangkal.
Katanya, isu Palestin sepatutnya dijadikan agenda bersama oleh seluruh masyarakat dan ahli politik, tanpa ada pihak yang menggunakan situasi itu untuk kepentingan politik.
"Amat mengecewakan ada ahli parlimen yang menimbulkan isu ini kerana mereka ingin mendapatkan manfaat politik dengan mengkritik Perdana Menteri. Seharusnya, seluruh masyarakat dan ahli parlimen perlu menyokong usaha Malaysia dalam perjuangan ini," katanya.
Geostrategis, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Azmi Hassan / Foto Bernama
Tambah Azmi, tekanan terhadap Perdana Menteri bukan hanya datang dari dalam negeri, tetapi juga dari luar negara, yang mana ia biasanya berlaku di belakang tabir.
"Bukan sahaja Perdana Menteri, malah Malaysia secara keseluruhannya turut berdepan dengan tekanan ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Aminurraasyid Yatiban berkata Malaysia konsisten dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin sejak awal tercetusnya konflik tersebut.
"Malaysia sentiasa berpegang teguh kepada prinsip untuk memperjuangkan pembebasan Palestin, dan dengan cadangan tegas untuk menyingkirkan entiti haram Israel dari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), ia menunjukkan komitmen kerajaan dalam memerangi penindasan terhadap Palestin," kata Dr. Aminurraasyid.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara sah dan pendirian ini terus dipertahankan sehingga kini, dengan pembebasan Palestin sentiasa menjadi isu yang disemarakkan dalam kalangan rakyat Malaysia.