JOHOR BAHRU, 19 September- Penglibatan usahawan desa dalam pendigitalan perniagaan mampu meningkatkan hasil jualan dan pendapatan sehingga 30 peratus.
Hasil jualan itu boleh diperolehi selepas tempoh setahun memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-dagang.
Perubahan pola pemasana secara dalam talian mula berubah sejak pandemik COVID-19.
Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata lebih 90 peratus usahawan berjaya mencapai sasaran jualan mereka melalui penyertaan berkenaan.
"Boleh dikatakan 90 peratus lebih usahawan-usahawan mencapai sasaran jualan mereka lebih daripada 30 peratus. Jadi ini merupakan pencapaian menggalakkan.
"Sudah tentu melalui program pendigitalan usahawan ini boleh membantu usahawan dengan melengkapkan kemahiran digital kepada usahawan," katanya kepada pemberita semasa Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) di Persada Johor International Convention Centre.
Usahawan juga diberikan pendedahan termasuk kursus dan latihan asas berkaitan perniagaan dalam talian selain merangkumi kaedah penjualan, pemasaran produk dan lain-lain.
Sehingga 31 Ogos lalu jumlah jualan terkumpul melalui Program Desamall berjumlah RM5.845 juta dan Stock Keeping Unit (SKU) sebanyak 28,334 di semua platform e-dagang.
Seramai 269 usahawan bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan lain-lain menyertai PPU di Johor sebelum siri keenam bakal dilaksanakan di Alor Setar, Kedah pada bulan hadapan.
(Datuk Che Murad Sayang Ramjan)