SHAH ALAM, 19 September- Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah bernilai RM12.8 juta dalam tujuh operasi berbeza di sekitar Lembah Klang.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, seramai 14 orang telah ditahan berumur 21 hingga 42 tahun.
11 daripadanya merupakan warga tempatan manakala tiga lagi merupakan warga asing masing-masing dua warga Sri Lanka dan seorang lagi wanita warga Thailand.
Dua daripada tujuh operasi tersebut merupakan makmal dadah haram di Setia Alam dan Puchong.
"Rampasan terdiri daripada heroin base seberat 40,661 gram bernilai RM3.5 juta, heroin (725 gram) bernilai RM6,017, meth oil (365.62 kilogram) bernilai RM4.8 juta, methamphetamine (25,444 gram) bernilai 839,652, ganja (18,335 gram) bernilai RM56,839, kokain (4,270 gram) bernilai RM854,000 dan ketamin (45,400 gram) bernilai RM2.7 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.
Sindiket itu dipercayai mula aktif sejak awal tahun 2023. Peralatan serta bahan-bahan kimia yang dipercayai bagi tujuan penghasilan dadah turut dirampas dalam operasi itu.
Bagaimanapun hasil siatan mendapati bekalan dadah tersebut diedarkan untuk pasaran Lembah Klang dan luar negara.
Pelbagai modus operandi digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa, seperti menjadikan kilang sebagai tempat pemprosesan dan penyimpanan dadah selain pengubahsuaian kenderaan bagi penghantaran bahan terlarang itu.
Suspek direman tujuh hari bermula 8 September bagi membantu siasatan.
Kes di siasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semakan rekod jenayah mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau dan salah seorang daripadanya berstatus dikehendaki.
(Datuk Sasikala Devi Subramaniam)