fb fb fb fb fb

PATI masuk bekerja secara haram, JIM pertingkat kawalan sempadan

Foto Fail

TUMPAT, 19 September- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengenal pasti terdapat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Pakistan dan India di sempadan negara.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata menerusi siasatan terhadap PATI, membongkarkan tujuan utama kumpulan itu adalah untuk bekerja secara haram di negara.

Tambahnya, mereka menggunakan dokumen perjalanan sah ke Thailand, bagi tujuan sama untuk masuk ke Malaysia.

Ruslin menegaskan permohonan visa pelancong di Malaysia adalah sangat teliti dan perlu melalui beberapa proses temuduga sebelum dibenarkan masuk.

"Untuk masuk ke Malaysia, mereka perlu ada visa. Apabila mereka cuba masuk melalui jalan yang sah, mereka perlu ada sebab yang sah untuk mereka berada di Malaysia.

Walaupun untuk melancong, kita akan siasat dan kita akan buat temuduga. Kita akan buat beberapa proses, apa tujuan mereka berada di Malaysia dan kesannya warga India dan warga Pakistan antara yang paling ramai. Kita keluarkan notis penolakan atau pun NTL (Not To Land)," kata Ruslin dalam sidang media selepas meninjau sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Kubor, hari ini.


(Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh)

Turut hadir, Pengarah JIM Kelantan, Azhar Abd Hamid dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Datuk Ruslin menegaskan bahawa JIM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketat kawalan di sempadan bagi mengekang kegiatan berkenaan.

Selain laluan pengkalan haram Sungai Golok, JIM tidak menolak kemungkinan bahawa laluan laut juga berpotensi antara pilihan untuk kemasukan PATI berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan sindiket penyeludupan manusia yang menjadikan sebuah hotel bajet di Kota Bharu, Kelantan sebagai rumah transit PATI terbongkar dalam serbuan Op Gelombang V pada 13 September lalu.

Dalam serbuan itu, seramai 51 PATI terdiri daripada 39 lelaki dan empat wanita warga India, dua lelaki Pakistan serta dua wanita dan empat kanak-kanak lelaki warga Thailand berusia dua hingga 60 tahun ditahan.

Media Baharu