KUANTAN, 19 September- Kerajaan negeri Pahang mengambil inisiatif melancarkan Tabung Sukan Pahang, sebagai agenda terbaharu memperkasakan sukan negeri itu.
Inisiatif itu juga sebagai salah satu komitmen dalam memastikan sukan negeri itu terancang dan mencapai kemajuan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dalam ucapannya, para penyumbang turut mendapat penghargaan daripada sumbangan yang diberikan selain mendapat pelepasan cukai.
“Pihak yang menyumbang kepada tabung ini bukan sahaja mendapat pelepasan cukai tetapi juga turut berpeluang terlibat menjayakan program pembangunan atlet dan sukan berprestasi tinggi di negeri ini," kata Fadzli dalam ucapannya sempena Majlis Anugerah Sukan Pahang 2021/ 2022 di Hotel Zenith, di sini.
Tambah beliau, pihaknya turut mengambil langkah drastik dengan menaikkan elaun latihan minimum RM100 kepada atlet Pahang yang terpilih bagi Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, sekurang-kurangnya RM250 sebulan bermula Januari depan.
Malah, kadar elaun latihan pemenang pingat emas SUKMA 2022 dinaikkan daripada RM350 sebulan kepada RM500 sebulan, juga bermula Januari depan.
(Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan
Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal)
Dalam majlis berkenaan, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada majlis itu, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati menjadi milik atlet angkat berat, Mohamad Nasir Roslan dan atlet badminton, Lai Pei Jing.
"Saya sangat gembira dengan penghargaan ini daripada Majlis Sukan Pahang. Saya nak ucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Pahang kerana selalu beri sokongan, tidak kira apa jua keputusan yang saya peroleh," kata Pei Jing kepada pemberita.
"Saya rasa macam tak sangka boleh dapat hadiah ini. Rasa macam mimpi sebab calon-calon lain semuanya berkelas dunia," kata Mohamad Nasir kepada pemberita.