KUALA LUMPUR, 19 September- Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan revolusi digital dan berusaha membuat perubahan baharu dari segi pendigitalan ekonomi negara sekali gus dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, penganjuran "Ekspo Smart Nation 2023" memberi peluang kepada pengunjung untuk mengetahui pelbagai teknologi digital yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi negara.
(Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup)
"Saya ingin mengucapkan tahniah atas inisiatif yang diambil AMB Tarsus Events Group dalam menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah tetap bagi mengadakan Ekspo Smart Nation, yang dengan sukacitanya saya maklumkan, ia adalah ekspo terbesar mengenai 5G, Bandar Pintar, IR4.0, E-Mobility dan Teknologi Baharu.
"Ia berperanan sebagai platform penting untuk pengenalan teknologi digital baharu, kecerdasan buatan dan Web 4.0. Program ini bersama-sama dengan Ekspo EVM ASIA yang berlangsung serentak akan memberi tumpuan kepada EV dan ekosistemnya yang akan mewujudkan perkongsian baharu dan menjana pelaburan ke rantau ini", katanya dalam berucap dalam perasmian Majlis Pelancaran "Ekspo Smart Nation 2023" di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Ekspo tersebut berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Ia melibatkan 584 pempamer dari 23 negara yang akan menampilkan teknologi pintar untuk sektor utama ekonomi termasuk kerajaan, pertanian, pembuatan, pengangkutan dan e-mobiliti, pendidikan, penjagaan kesihatan, pembinaan, tenaga, keselamatan dan komunikasi.
Lebih 500 delegasi dan 38 penceramah akan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Ekonomi Digital, Sidang Kemuncak Bandar Pintar Asia dan Forum Kenderaan Elektrik dan Mobiliti Asia untuk mengetahui perkembangan terkini dalam bidang digital dan e-mobiliti.