LAHAD DATU, 11 Jun- Kementerian Pendidikan sedang menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri berkaitan keperluan meningkatkan kemudahan jaringan internet di sekolah selari dengan pelaksanaan pendigitalan pendidikan.
Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, proses penyediaan kertas kerja yang kini di peringkat akhir turut melibatkan pandangan semua pihak.
"Sekarang ini disekolah hanya ada tiga tempat yang kita sediakan iaitu bilik guru, pusat sumber dan pejabat sekolah, namun begitu apabila kita bercakap tentang pendigitalan pendidikan perkara pertama yang paling penting adalah untuk memastikan akses internet lebih meluas khususnya dalam kawasan bilik darjah, lebih meluas asrama dalam kawasan seluruh sekolah tersebut. Ini bagi memastikan apabila kita melaksanakan pendigitalan nanti kita tidak akan mempunyai kekangan dalam sudut akses kepada internet," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Felda Digital Maker Hub-Coding and Robotic (FDMH) di Lahad Datu.
Dr Radzi berkata, proses menaik taraf internet membabitkan lebih 10,000 sekolah di negara ini akan memerlukan perbelanjaan yang cukup besar.
Beliau berharap, permohonan kementeriannya itu dapat diluluskan kelak bagi mencapai pendigitalan pendidikan secara menyeluruh.
Mengenai Perasmian FDMH, Radzi memuji usaha dan komitmen Felda dalam mewujudkan pendigitalan pendidikan di semua kawasan Felda di seluruh negara.
(Datuk Dr Radzi Jidin (kanan) merasmikanĀ Felda Digital Maker Hub-Coding and Robotic (FDMH) di Lahad Datu)