fb fb fb fb fb

Mansuh hukuman mati mandatori, tidak beri kesan kepada tugas polis- Hamzah

BALING, 11 Jun- Langkah kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori tidak akan memberi kesan terhadap tugas polis dalam melaksanakan penguatkuasaan terutama melibatkan jenayah berat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya menyokong langkah itu dan menegaskan penguatkuasaan polis dan siasatan semua jenis kes termasuk jenayah berat berjalan seperti biasa.

"Kita, polis sendiri pun memikirkan bahawa mungkin ada baiknya jika ada kelonggaran dari segi hukuman mati mandatori ini sebab kalau kita nak mengambil sesuatu tindakan itu kadang-kadang ada bukti tapi ia 'on a thin line'. Hukuman mati masih lagi ada, cuma kalau ada satu-satu kesalahan, biarlah hakim yang menentukan sama ada orang itu harus diberikan hukuman gantung ataupun hukuman penjara seumur hidup," katanya.

Beliau turut menyangkal andaian pemansuhan hukuman mati mandatori bakal meningkatkan kadar jenayah berat negara.

Terdahulu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu menghadiri Majlis Kenduri Raya Bersatu Baling yang turut dihadiri Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.


(Datuk Seri Hamzah menghadiri Majlis Kenduri Raya Bersatu Baling / FB Hamzah Zainudin)

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan berkata kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Wan Junaidi berkata keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas.

Media Baharu