fb fb fb fb fb

MARA sedia perluas kerjasama strategik bidang pengajian baharu pelajar tajaannya

KUALA LUMPUR, 11 Jun- Majlis Amanah Rakyat (MARA) merancang untuk memperluaskan kerjasama strategik dengan universiti luar negara dalam bidang baharu bagi pengajian pelajar tajaannya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerjasama strategik itu melibatkan universiti yang berada di kedudukan terbaik dunia.

"Universiti ini, (University of Manchester) United Kingdom (UK) yang berada di kedudukan ke-35 dunia, kelima di UK dan kelapan di Eropah.

“Jumlah keseluruhan pelajar di universiti ini (UoM) adalah lebih 40,000 dan lebih 25 peratus adalah pelajar dari luar negara termasuk dari Malaysia", katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media sempena lawatan kerja ke University of Manchester (UoM), United Kingdom di sini semalam.


(Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam lawatan kerjanya ke UK )

Mahdzir kini berada di UK bagi lawatan kerja rasmi selama tujuh hari bermula semalam dan lawatan itu turut disertai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Ramlan Harun serta Ketua Pengarah MARA Datuk Azhar Abdul Manaf.

Dalam lawatan itu, Mahdzir dan delegasi turut mengadakan perbincangan dan bertukar pandangan berkaitan aspek pengajian bidang baharu yang boleh diteroka oleh pelajar tajaan MARA ke UoM.

Beliau juga dibawa meninjau bangunan baharu Fakulti Kejuruteraan UoM yang mempunyai kelengkapan dan peralatan pengajian moden dan terkini.

Jelas Mahdzir, MARA ketika ini menghantar sebahagian besar pelajar tajaannya mengikuti pengajian bidang kejuruteraan di United Kingdom dan juga di 21 buah negara lain.

Setakat ini, MARA mempunyai sejumlah 3,391 pelajar tajaannya di luar negara dengan jumlah paling ramai adalah di United Kingdom iaitu 1,422 pelajar.

"Kita dapat melihat bagaimana mereka telah memberi penerangan mengenai keupayaan pelajar-pelajar kita dari segi kualiti pelajar bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam ko-kurikulum, mereka memuji pelajar-pelajar Malaysia dalam penyertaan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), ko-kurikulum dan juga pengajian akademik."

Katanya, MARA membuat keputusan tepat memilih UoM sebagai destinasi pelajar tajaannya yang paling ramai di UK atas faktor kedudukan universiti, tenaga pengajar dan persekitaran kampus yang terbaik.

"Antara kemudahan terbaik UoM adalah infrastruktur pembelajarannya iaitu perpustakaan yang memiliki koleksi 4 juta buah buku dan manuskrip bercetak, 800 ribu buku elektronik dan 500 ribu jurnal elektronik.

"MARA mempunyai pelajar yang ramai di universiti ini di kalangan universiti yang ada di United Kingdom. Kita ada lebih kurang 229 pelajar di kampus University of Manchester dan ini di bawah tajaan MARA", kata Mahdzir.

Media Baharu