KUALA LUMPUR, 7 Ogos – ASEAN disaran menyelesaikan sebarang pertikaian serantau melalui rundingan dan persefahaman tanpa bergantung kepada campur tangan kuasa luar.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan penyelesaian secara damai perlu menjadi keutamaan dalam menangani isu antara negara anggota, terutamanya yang melibatkan hubungan dua hala dan sempadan.
Mengulas insiden pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa situasi tersebut memperlihatkan keperluan ASEAN memainkan peranan lebih aktif dalam mencari penyelesaian dalaman.
“Seperti yang kita lihat dalam insiden antara Thailand dan Kemboja, pertikaian sempadan harus diselesaikan melalui dialog dan persefahaman.
"ASEAN perlu bersedia untuk memimpin dan mencari penyelesaian tanpa bergantung kepada kuasa luar,” katanya.
“Nasib baik, seperti yang kita saksikan baru-baru ini, masa depan rantau ini semakin cerah. Asia Tenggara bukan lagi lokasi untuk kuasa besar menyelesaikan cabaran kita.
"Sebaliknya, semangat ‘ASEAN untuk ASEAN’ kini benar-benar hidup,” tambah beliau.
Datuk’ Seri Amirudin berkata demikian ketika merasmikan ASEAN Business Community Development (ABCD) Forum 2025 di ibu negara.
Forum tersebut menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar, dan wakil komuniti perniagaan dari seluruh rantau dalam usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dan keterangkuman serantau.