KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Program solidariti besar-besaran buat rakyat Palestin bakal diadakan selama tiga hari di Dataran Merdeka, bermula 22 hingga 24 Ogos ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, acara kemuncaknya, 'Malam Malaysia Bersama Gaza' pada 23 Ogos dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 orang.
Jelas beliau, ia sekali gus mencerminkan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
“Saya dimaklumkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bahawa mereka menjangkakan kehadiran melebihi 100,000 orang.
Ini bukti jelas keprihatinan rakyat Malaysia terhadap isu Gaza dan solidariti terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pentarama Homecoming sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 di Sekolah Kebangsaan Bangsar, hari ini.
Datuk Fahmi turut memaklumkan, perincian penuh program akan dimaklumkan tidak lama lagi dan menyeru sokongan media untuk menyebarluaskan maklumat acara.
"Pada pukul 11 malam, 23 Ogos nanti, Perdana Menteri sendiri akan hadir untuk memberi sokongan yang padu kepada acara yang mengingatkan kita tentang pendirian teguh Malaysia menyokong Palestin, khususnya Gaza,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, program itu bukan sekadar medan solidariti, tetapi turut menampilkan tayangan khas dan pameran sejarah perjuangan rakyat Palestin dari dahulu hingga kini.