fb fb fb fb fb

Pendidikan wadah utama lahir insan berilmu

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Pendidikan merupakan satu wadah utama bagi menyerlahkan potensi individu sekali gus melahirkan insan yang berilmu, bertanggungjawab dan menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan ummah.

Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, beliau menyedari bahawa amanah dan harapan yang amat besar menantinya apabila dilantik sebagai teraju utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


(Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika sesi taklimat di Bilik Mesyuarat Utama Kementerian Pendidkan Malaysia)

"Kesedaran dan keyakinan ini mendorong saya untuk memulakan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan bagi menekuni status dan tahap kemajuan semasa pada peringkat Bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), serta kementerian secara keseluruhan.

"Saya turut meluangkan masa dengan pengetua serta guru besar (PGB) di sekolah dan para guru yang merupakan barisan pertahanan pendidikan pertama negara dalam menjayakan misi membina legasi pendidikan manusiawi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Gabungan pendekatan atas-ke-bawah (top-down) dan bawah-ke-atas (bottom-up) ini memberikan input dan akan menjadi pendekatan utama dalam mentadbir kementerian berlandaskan semangat dan roh yang terkandung dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Katanya lagi, berdasarkan sesi interaksi awal yang berlangsung dalam minggu ini, beliau cukup yakin dengan kemampuan, bakat dan kesungguhan jentera KPM yang melaksana dan menggubal dasar-dasar kementerian dan akan bersama-sama saya memikul amanah dalam melakar era baharu sektor pendidikan negara.

Media Baharu