BERLIN, 11 Mac- Pendidikan tidak wajar mengesampingkan (mengetepikan) disiplin, akhlak dan adab.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di facebook menyeru pihak sekolah, maahad, institut, kolej dan universiti agar memberi penekanan terhadap disiplin dan adab.
Beliau yang kini dalam lawatan kerja ke Berlin, mengimbau kembali beberapa mesej dari rakan Indonesia berkenaan kisah yang menyayat hati, penderaan pelajar di pesantren (pondok) Jawa Timur.
"Terngiang dalam ingatan liputan negara sejak dulu, kisah penderaan pelajar termasuk pengalaman saya tatkala menjadi Menteri Pendidikan yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Cheras, Kuala Lumpur. Malah, paling tragis dan menggemparkan adalah kematian mahasiswa di Universiti Pertahanan", katanya.
Beliau berkata pelajaran, waima pendidikan agama sekalipun, bukan sekadar menimba ilmu dan keratan ayat-ayat tanpa pencerahan, kesedaran dan amalan.
"Lantaran itu, semua tenaga pengajar dan ibu bapa perlu menekan kaedah itu, dan tidak bersubahat melindungi gejala bobrok tersebut", katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengucapkan 'Selamat Menyambut Ramadan 2024/1445H'.
"Jadikan awal Ramadhan kesempatan kita bermunajat dan meningkatkan amal serta tercapai darjat taqwa serta berusaha sesungguhnya menggapai nikmat madrasah Ramadan", katanya menerusi hantaran facebook.