fb fb fb fb fb

Pendidikan khusus berkaitan antibuli harus jadi keutamaan

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Sesi Dialog Awam Antibuli. / Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 18 September – Perbuatan buli tidak boleh ditangani hanya dengan memfokuskan kepada aspek hukuman semata-mata, sebaliknya pendidikan khusus berkaitan antibuli perlu diberi keutamaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendekatan mendidik pelajar tetap menjadi asas utama walaupun tindakan disiplin tegas turut dilaksanakan.

“Kita tidak boleh melihat isu buli hanya daripada satu sudut, iaitu menghukum semata-mata. Ia tidak boleh begitu. Sebab itu, dalam konteks Kementerian Pendidikan Malaysia, pendirian kita jelas, mendidik tetap menjadi keutamaan.

"Walaupun dalam soal disiplin tidak boleh ada kompromi, ada yang mungkin dibuang atau digantung, tetapi akhirnya yang akan menerima mereka semula dan memberi peluang pemulihan ialah institusi pendidikan. Jadi, ke mana pun mereka dibuang atau digantung, akhirnya mereka akan kembali ke sekolah untuk dipulihkan,” jelasnya.

Beliau berucap pada Sesi Dialog Awam Antibuli siri kedua yang berlangsung di sini, hari ini.

Pada sidang media selepas itu, Fadhlina berkata siri jerayawara Sesi Dialog Awam AntiBuli ke seluruh negara diharap mendapat sambutan baik dan maklum balas menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat.

“Jadi, kita harap orang ramai, khususnya pemegang taruh pendidikan dan komuniti, dapat berinteraksi dengan kita bukan sahaja dalam sesi fizikal.

Mereka juga boleh mengemukakan pandangan khusus mengenai bagaimana isu buli dapat ditangani sebagai satu kekuatan bersama,” katanya.

Menurutnya, dua sesi Sesi Dialog Awam Antibuli yang telah diadakan sebelum ini turut mengenal pasti kebimbangan masyarakat berhubung definisi sebenar perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai buli.

“Maknanya, mereka menekankan bagaimana mentakrifkan buli ini dengan jelas. Sebab itu kita perlu memastikan Rang Undang-Undang ini dibincangkan melalui sesi libat urus yang lebih meluas supaya definisi dan kefahaman mengenai buli dapat diselaraskan,” katanya.

Dengan cara itu, kefahaman tentang undang-undang dan definisi buli dapat diselaraskan, dan akhirnya menjadi kefahaman bersama,” tambah beliau.

((LIP/NURUL))

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI