KUALA NERUS, 18 September - Jabatan Penjara Malaysia akan mewujudkan Siswa Siswi Koreksional (SISKOR) di dua lagi universiti di negara ini.
Sejak penubuhannya pada tahun 2014, SISKOR kini diwujudkan di lima universiti.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara Pengurusan, Hafidz Othman berkata SISKOR mula diperkenalkan di Universiti Tun Hussien Onn, diikuti Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Malaysia Kelantan.
Pada Oktober ini, SISKOR akan dibuka di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, manakala di Universiti Malaysia Sabah pada tahun hadapan.
"Ilmu paling penting sekali kita dedahkan mereka dengan kemudahan atau perkhidmatan dalam komuniti dan kita galakkan mereka juga untuk jadi sukarelawan koreksional dan dalam tempoh dua tahun pembelajaran atau pun latihan mereka ini.
"Kita juga turut dedahkan mereka dengan asas kepenjaraan, kaunselingnya dan seperti biasa latihan fizikal kawad, latihan menembak pun kita tawarkan kepada mereka sekurang kurangnya memberi satu pengalaman baharu dan satu dimensi baharu kepada pelatih," kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil dan Tamat Latihan SISKOR Institusi Pengajian Tinggi Awam 2025 di Universiti Sultan Zainal Abidin, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNISZA, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Hafiz Yusof dan Pengarah Penjara negeri, Mohd Nasir Yusof.
Seramai 345 SISKOR menerima pentauliahan melibatkan lima institut pengajian awam (IPTA).
20 kadet dipilih menerima anugerah SISKOR terbaik keseluruhan, akademik terbaik, latihan luar terbaik dan kepimpinan terbaik.
Sejak penubuhannya pada tahun 2014, hampir 4,000 penuntut IPTA menyertai SISKOR.