fb fb fb fb fb

Dua beranak maut dipercayai lemas akibat kebocoran gas pendingin hawa

Dua beranak ditemukan maut di dalam kereta

AYER KEROH, 18 September – Dua beranak ditemukan maut dipercayai akibat kebocoran gas pendingin hawa ketika berehat di dalam kereta di tepi jalan di Paya Rumput, Cheng, malam tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata, mangsa dikenali sebagai Zabanah Abu Hussin, 57 tahun, dan anaknya Intan Nur Shafiqah Othman, 25 tahun yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.24 tengah malam menerusi talian MERS 999 selepas orang awam menemui kedua-dua mangsa tidak sedarkan diri di dalam kereta terbabit.

Beliau berkata siasatan awal pada badan kedua-dua mangsa yang dalam keadaan terbaring di tempat duduk hadapan juga tidak menemukan sebarang kesan jenayah.

“Mangsa terdiri daripada seorang ibu berusia lewat 50-an dan anaknya yang juga seorang OKU. Kita syak mereka dalam perjalanan dan berhenti untuk berehat di tepi jalan dengan enjin serta pendingin hawa kereta masih terpasang.

"Selepas tertidur dalam tempoh agak lama, dipercayai berlaku kebocoran gas dalam kereta sehingga menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (Ex Kesidang 2025) peringkat negeri Melaka di sini, hari ini.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI