fb fb fb fb fb

650 anggota polis ditugaskan bersempena Hari Pelancongan Sedunia di Melaka

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar

AYER KEROH, 18 September – Seramai 650 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan sepanjang penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) yang berlangsung pada 27 hingga 29 September ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya turut menerima bantuan anggota dan aset daripada Bukit Aman.

“Aset yang kita ada terutamanya melibatkan trafik, termasuk bantuan daripada Bukit Aman dengan motosikal berkuasa besar untuk mengiringi tetamu kenamaan.

"Dari segi kesiapsiagaan pula, kita memberi tumpuan kepada Modul Kontinjensi Malaysia (MKM) 18 iaitu berkaitan bencana dan keganasan. Walaupun ada elemen lain bawah MKM 21, kita rangkumkan kesemuanya bawah MKM 18 supaya lebih spesifik kepada aspek bencana dan keganasan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (Ex Kesidang 2025) peringkat negeri Melaka di sini, hari ini.

Latihan berkenaan melibatkan 40 agensi kerajaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta RELA, bagi memberi gambaran sebenar situasi kawalan keselamatan melibatkan hampir 150 delegasi dari dalam dan luar negara.

Menurut Datuk Dzulkhairi, latihan itu menjadikan Melaka lebih bersedia menganjurkan pelbagai program bertaraf antarabangsa pada masa akan datang.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI