GOMBAK, 18 September – Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyumbang RM30,000 bagi menyokong tiga program khidmat komuniti mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) bersama masyarakat Orang Asli di Perak, Pahang dan Kelantan.
Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, hari ini.
“Sumbangan yang diberikan ini membolehkan ketiga-tiga entiti berkenaan menjalankan program dengan lebih berkesan, sekali gus membantu masyarakat Orang Asli di lokasi yang ditetapkan.
"Pusat pengajian tinggi, sama ada awam atau swasta, perlu menghayati semangat kecemerlangan ummatiyyah dan seterusnya Malaysia MADANI. Insya-Allah kita akan dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai murni, menghormati serta menghargai orang lain,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau berkata inisiatif itu mencerminkan roh universiti rahmatan lil-‘alamin dan menyokong gagasan Kerajaan MADANI berteraskan ihsan, inklusiviti dan kesejahteraan sosial.
Tiga kelab mahasiswa terlibat ialah Mahallah Sumayyah, Kelab COMRADE dan Kelab Titian Asli yang berganding bahu menjayakan program pendidikan, motivasi, gotong-royong serta penyampaian barangan keperluan asas.
Selain itu, sumbangan tambahan berjumlah RM10,000 turut disalurkan kepada Masjid Sultan Haji Ahmad Shah IIUM bagi menganjurkan pelbagai program ilmiah.