KUALA LUMPUR, 18 September- Malaysia terus menzahirkan solidariti sebagai warga global bertanggungjawab dengan menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah USD150,000 kepada mangsa bencana di Pakistan dan Afghanistan.
Menurut kenyataan Wisma Putra, sumbangan berkenaan disampaikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Bagi Pakistan, Malaysia menyalurkan USD100,000 melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) yang diserahkan kepada Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, TYT Syed Ahsan Raza Shah.
"Bantuan itu susulan banjir besar yang meragut nyawa, menyebabkan perpindahan besar-besaran serta memusnahkan infrastruktur di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Punjab, Sindh dan Gilgit-Baltistan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Malaysia turut menyalurkan USD50,000 kepada mangsa gempa bumi di Afghanistan melalui kerjasama dengan badan bukan kerajaan Organization of Malaysian Afghanistan Initiative (OMAI).
Bantuan berkenaan disalurkan meskipun Malaysia tidak mengiktiraf pentadbiran semasa di Kabul.
Bagaimanapun, kerajaan menegaskan komitmen untuk terus membantu rakyat Afghanistan melalui saluran kemanusiaan.
“Malaysia berharap bantuan ini dapat meringankan beban mangsa serta menyokong usaha pemulihan yang sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu lagi.
TBKLN ditubuhkan pada 2006 sebagai platform khas untuk menyalurkan bantuan antarabangsa.
Orang ramai termasuk syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan digalak menyumbang melalui portal rasmi https://tabungbencana.kln.gov.my.