SHAH ALAM, 18 September - Pelaksanaan hukuman bersesuaian perlu diperinci, diperhalusi serta dipertimbang sebaik mungkin sebelum Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Tribunal AntiBuli dibentangkan di Parlimen, Disember ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini tiada definisi khusus mengenai perbuatan buli dalam perundangan negara termasuk di bawah Kanun Keseksaan.
Meskipun terdapat beberapa peruntukan undang-undang yang menyentuh elemen buli, definisi teknikal yang jelas masih belum diwujudkan.
"Definisi buli ini sebenarnya dalam Kanun Keseksaan, ada beberapa situasi yang menggambarkan elemen buli, tetapi definisi teknikal buli tu tak diwujudkan. Apa itu buli?
"Jadi dalam perkara ini, kita berhadapan dengan beberapa faktor yang perlu kita membuat kiraan sebelum kerajaan mewujudkan, harapan saya pada sesi Parlimen yang akan datang." kata beliau ketika berucap pada sesi TownHall AntiBuli: #GenerasiTanpaBuli peringkat Negeri Selangor, di sini hari ini.
Azalina menegaskan, proses penggubalan undang-undang tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.
Justeru, sesi TownHall AntiBuli menjadi antara langkah proaktif untuk mendapatkan suara rakyat untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan cadangan agar RUU berkenaan dapat memberi keadilan kepada semua pihak.
"Sebenarnya bila kita buat undang-undang...tak boleh syok sendiri. Kadang-kadang orang politik di Parlimen cakap macam-macam, tetapi yang nak laksana undang-undang, yang nak menggunakan undang-undang, yang nak merasai impak undang-undang adalah rakyat. Itu sebab Kerajaan Madani ini kerajaan yang bertemakan kepada kita mendengar lebih, cuba bercakap kurang," ujarnya.
Dalam sidang media kemudiannya, beliau memaklumkan terdapat juga cadangan agar Tribunal AntiBuli melibatkan hukuman terhadap pelaku berusia 18 tahun ke atas, selain desakan untuk mempercepat serta memastikan pelaksanaannya berkesan.
"Setakat ini, daripada Putrajaya, respon yang saya baca lebih pada mereka nakkan kategori bukan saja bawah 18 tahun. Rakyat respon, kena terbuka. Jadi kita kena kajilah."
"Rata-rata banyak bagi komen bahawa kalau adanya akta, akan ada definisi. Keduanya, banyak bagi komen kalau saya guna tribunal tu kena cepat selesailah, itu sebab kita akan kaji lagi sekali." katanya.
Beliau turut menegaskan, perkara itu masih belum boleh dimuktamadkan kerana memerlukan penelitian menyeluruh terhadap pandangan dan cadangan semua pihak, selain olahan yang bersesuaian dengan acuan negara.
"Kita sebagai kerajaan, kita tak nak bagi definisi -- pandangan kita secara persepsi, kajian antarabangsa, tapi sebab Malaysia sebagai sebuah negara yang pelbagai bangsa, agama "
"Jadi saya pun tak boleh cakap terlampau awal...masih mentah, masih 'premature'." ujarnya.
Selain dapatan daripada program TownHall, Azalina turut mengajak serta mengalu-alukan maklumbalas masyarakat menerusi portal Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dikenali sebagai Peta Reformasi Institusi (PetaRI).
Ini bagi memastikan semua cadangan dan pandangan dapat diperhalusi dan dimuktamadkan, sebelum ia dibentangkan mengikut perancangan yang dijadualkan.