KUALA LUMPUR, 15 Februari- Pendidikan, kesihatan dan perumahan masih menjadi agenda penting Kerajaan MADANI demi kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus membantu golongan memerlukan, tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama.
Usaha itu akan terus dilakukan dan digandakan lagi.
"Program hari ini adalah contoh bahawa nasib rakyat yang memerlukan, seperti pekerja estet, tetap menjadi jadual penting kerajaan bagi menaik taraf kehidupan mereka ke tahap lebih baik dan selesa lagi.
"Justeru, saya percaya prakarsa (ikhtiar) ini boleh diperluaskan lagi dan menjadi contoh kepada projek perumahan lain dalam mengangkat serta menjulang kebajikan rakyat negara ini.
"PRR (Program Residensi Rakyat) Harmoni MADANI Bestari Jaya merupakan projek kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri Selangor, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB).
"Kos pembangunan keseluruhan berjumlah RM75 juta, melibatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta dan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM35 juta.
"Tapak tanah berkeluasan 20 ekar tersebut disediakan secara percuma oleh Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB), manakala PR1MA dilantik sebagai agensi pelaksana bertanggungjawab merealisasikan projek berkenaan," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Terdahulu, Anwar hadir merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya.