fb fb fb fb fb

Pendidik perlu kuasai pengetahuan digital - Fadhlina

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Mei- Pendidik perlu menguasai pengetahuan digital dalam memberi pendidikan berkualiti kepada para pelajar, selaras aspirasi Dasar Pendidikan Digital (DPD).

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, guru-guru disaran untuk membangunkan kompetensi digital secara kendiri bagi memenuhi keperluan dalam melaksanakan tugas.

"Melalui latihan dan pembelajaran kendiri, mereka (guru) akan menjadi peneraju dalam membentuk landskap pendidikan yang lebih baik untuk generasi akan datang," katanya menerusi kenyataan bersempena sambutan Hari Guru hari ini.

Fadhlina turut mengucapkan selamat Hari Guru kepada semua individu yang bergelar pendidik di seluruh negara.

Tahun ini sambutan berkenaan membawa tema "Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani".

Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menambah baik jurang digital antara murid di kawasan bandar dan luar bandar.

KPM telah menyediakan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara berfasa ke sekolah-sekolah sejak Mac 2022.

Ini termasuklah melengkapkan kesemua sekolah dengan rangkaian jaringan internet.

"Antara platform terpenting yang disediakan KPM ialah pelantar DELIMa ('Digital Educational Learning Initiative Malaysia').

"Ia mengandungi perkhidmatan, aplikasi dan kandungan yang ditambah baik secara berterusan sesuai dengan perkembangan teknologi terkini," katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata pihaknya telah menambah baik ekosistem pendidikan digital, iaitu infrastruktur dan infostruktur.

Ia dapat membantu serta memberikan sokongan kepada pendidik untuk mengintegrasikan pengajaran dan pembelajaran dalam digital.

Ujarnya, ini juga dapat membudayakan pengetahuan, kreativiti dan inovasi pendidikan digital dalam kalangan pelajar.

Tambah Fadhlina, KPM telah mengintervensi kurikulum dan memberi fokus kepada perkara asas belum selesai seperti penguasaan “3M” (Membaca, Menulis dan Mengira).

Sementara itu, Fadhlina berkata teknologi mampu menjadi solusi untuk mengatasi pelbagai permasalahan pendidikan, termasuklah isu keciciran.

"Kita juga yakin, pada masa hadapan, teknologi digital akan mampu mengesan keciciran dan membantu kita menanganinya.

"Justeru, digitalisasi bukanlah semata-mata suatu 'privilege' kepada anak-anak yang berkemampuan dan yang mempunyai akses, tetapi ia akan diperluas menjadi sebahagian penyelesaian kepada permasalahan yang membelenggu proses pendidikan," kata Fadhlina.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM