fb fb fb fb fb

4,000 pengunjung meriahkan Program Jom Kenal TVET@IKM Beseri

Sekumpulan pelajar tidak melepaskan peluang untuk menimba ilmu di TVET IKM Beseri

BESERI, 16 Mei - Lebih 4,000 pengunjung khususnya dalam kalangan pelajar tidak melepaskan peluang memeriahkan Program Jom Kenal TVET@IKM Beseri.

Pelaksanaan program ini bagi memberi peluang kepada pelajar memahami bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan institusi pendidikan dibawah MARA dalam usaha melahirkan belia berkemahiran tinggi, memenuhi keperluan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara dalam era Revolusi Industri IR 4.0.

Menurut Pengarah MARA Negeri, Mohd Azam Jamaluddin, inisiatif pemerkasaan TVET ini adalah selaras hasrat kerajaan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus belia melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang tahun 2025, selain melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.

"Dalam pada itu juga, stigma masyarakat mengenai bidang TVET sebagai pilihan kedua perlu diubah yang mana kadar kebolehpasaran yang tinggi, serta sebagai penyumbang tenaga kerja mahir pelbagai industri dalam dan luar negara.

"Ini membuktikan bidang TVET kini membawa masa depan yang cerah kepada lepasan TVET.

"Semua pelajar dan golongan muda terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu merebut peluang berkenaan untuk mempelajari kemahiran dalam satu bidang khusus sebagai persediaan dalam persekitaran yang mencabar," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Program yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini mengetengahkan pelbagai pengisian, antaranya Pameran Pendidikan iaitu Jelajah Pendidikan Luar Bandar yang disertai oleh 9 Institusi Pendidikan Tinggi – GMI, Unikl, KPTM, Kolej Komuniti, Giatmara, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan IKM Beseri.

Selain itu, pameran produk inovasi, kaunter perkhidmatan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan agensi dan jabatan, pameran agensi keselamatan, program MARA Prihatin serta program khidmat masyarakat tukar minyak pelincir dan penapis minyak secara percuma kepada 100 kereta.

GRACE AISYAH KEDAYAN