fb fb fb fb fb

Pendekatan inovatif, pembelajaran berasaskan komuniti tingkat pendidikan negara

Datuk Mustapha Sakmud

SERDANG, 16 Jun- Pendidikan tinggi negara terus diperkasa melalui pendekatan inovatif dan pembelajaran berasaskan komuniti.

Justeru Karnival Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Putra InnoCreative (i-PicTL) 2025 kali ke-7 dan Karnival SULAM@UPM 2025 merupakan medium dalam menjayakan hasrat berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, bagi mencapai perkara itu ia perlu disokong dengan pendidikan fleksibel dan pembentukan graduan berjiwa MADANI.

"Pendidikan tinggi perlu bergerak selari dengan keperluan semasa. Pendekatan pembelajaran yang lebih adaptif, kreatif dan relevan amat penting bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja berkualiti, tetapi juga berjiwa MADANI dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Putra InnoCreative (i-PicTL) 2025 dan Karnival SULAM@UPM 2025 yang berlangsung selama dua hari di sini.

Karnival bertemakan 'Adaptive Learning for a Changing World: Embracing Innovation in Teaching and Learning' itu dianjurkan Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead) dan berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS).

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, menyifatkan program itu sebagai landasan penting kepada mahasiswa untuk meneroka pendekatan baharu dalam pembelajaran seiring dengan kemajuan teknologi dan keperluan semasa.

"Kita tidak boleh lagi mengajar pelajar untuk dunia semalam. Mereka perlu dibimbing ke arah masa depan yang pantas berubah, kompleks dan mencabar.

"Melalui program ini, pelajar akan didedahkan kepada pendekatan pembelajaran yang lebih inovatif dan relevan dengan keperluan dunia sebenar," katanya.

Karnival kali ini menghimpunkan lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara terdiri daripada pensyarah, guru dan pelajar.

Antara pengisian utama termasuk pertandingan poster, pembentangan konsep, pra-bengkel profesional, Pecha Kucha Pedagogi Inovatif serta sesi bual bicara bersama pakar pendidikan dan teknologi.

Karnival SULAM@UPM 2025 turut menampilkan projek berasaskan perkhidmatan (Service Learning) yang menggabungkan pengajaran dengan khidmat kepada masyarakat.

Antara fokus utama ialah pendidikan luar bandar, teknologi komuniti, pembangunan sosial dan kesedaran alam sekitar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI