KUCHING, 16 Jun- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak semalam berjaya menahan sebuah vesel nelayan tempatan kelas C bersama tiga kru warga tempatan kerana disyaki melanggar Akta Perikanan 1985.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz, bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan dan menahan bot tersebut semasa rondaan rutin menerusi Op Tiris 3.0 dan Op Permai pada pukul 2.30 petang semlam kira-kira 1.3 batu nautika dari barat daya Tanjung Muara Tebas.
Hasil pemeriksaan mendapati kru bot berusia antara 32 hingga 61 tahun itu menjalankan aktiviti penyiripan ikan yu, iaitu memotong atau memiliki sirip ikan yu di atas vesel, manakala badannya dibuang ke laut.
"Vesel dan ketiga-tiga kru tersebut telah diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu komuniti nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan semasa berada di laut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Orang awam yang mempunyai maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.