JOHOR BAHRU, 16 Jun - Kertas kerja pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Dua, Johor, kini sedang dilengkapkan, sebelum diserahkan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk dibawa ke Mesyuarat Kabinet, dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, perbincangan lanjut mengenai pembinaan HSA Dua, akan dibuat semasa Mesyuarat Kabinet.
"Mudah-mudahan dalam masa terdekat ini ada berita baik daripada pihak kementerian, supaya dapat disediakan peruntukan untuk pembinaannya.
"Penyediaan kertas kerja itu akan siap dalam masa terdekat iaitu mungkin dalam bulan ini." katanya.
Sebelum ini, isu tanah, lokasi dan kerja awalan bagi HSA Dua, telah selesai dilaksanakan.
Beberapa bengkel teknikal dan perbincangan keperluan hospital juga telah diadakan, bagi memastikan tiada pertindihan projek kerana Johor bakal menerima dua buah hospital.
Beliau ditemui semasa Majlis Penyerahan Cek Yayasan Sultanah Fatimah 2025 di Johor Bahru.
Sebanyak RM1 juta disalurkan kepada 500 pelajar golongan B40 di Johor.