fb fb fb fb fb

Pendekatan geopolitik ASEAN jadi contoh negara membangun

Mohamad Hasan / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 Oktober- Pendekatan praktikal yang digunakan negara ASEAN dalam mengurus persaingan geopolitik antara kuasa-kuasa besar semakin dilihat sebagai contoh bagi dunia membangun.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata komitmen ASEAN terhadap keberkecualian, dialog dan kerjasama serantau membolehkan kestabilan di Asia Tenggara dapat dicapai; meskipun berdepan persaingan luar.

Ini dibuktikan menerusi perdagangan negara ASEAN bersama kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat (AS).

"Sebagai contoh, perdagangan ASEAN dengan China mencatatkan AS$696.7 bilion pada 2023, mencerminkan kedudukan China sebagai rakan dagangan terbesar kami sejak 2009.

"Pada masa sama, perdagangan dengan AS berjumlah AS$395.9 bilion. Keseimbangan diplomatik itu menyumbang kepada pertumbuhan yang kukuh dalam pelaburan langsung asing (FDI) ASEAN.

"Tahun lepas, kami berjaya menarik sejumlah AS$229.8 bilion dalam FDI, dengan China dan AS disenaraikan sebagai penyumbang utama.

"Kemasukan pelaburan ini sangat penting dalam memacu penciptaan pekerjaan, pemindahan teknologi dan pembangunan infrastruktur di seluruh rantau ini," katanya pada majlis Pelancaran Logo dan Tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di sini.

Jelasnya, keseimbangan diplomatik yang dilaksana ASEAN juga telah menghasilkan pertumbuhan ketara dalam FDI.

Kemasukan pelaburan itu sangat penting dalam memacu penciptaan pekerjaan, pemindahan teknologi dan pembangunan infrastruktur di seluruh rantau ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM