SEPANG, 22 Oktober- Kerja menaik taraf dan penambahbaikan di semua pintu masuk negara, terutama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), perlu diselesaikan sebelum hujung tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia sebagai persediaan menjelang kepengerusian ASEAN tahun depan.
"Kita telah pun meminta pihak MAHB untuk mengubah suai dan juga menaik tarafkan bilik-bilik kenamaan. Kita menjangkakan ramai pemimpin ASEAN, orang kenamaan dan sebagainya akan memasuki negara kita melalui pintu masuk utama," katanya kepada pemberita di sini.
Menurutnya, perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) juga dijangka beroperasi semula, awal Februari depan.
Dalam pada itu, kerajaan sedang berusaha mempercepat kajian ruang udara, bagi memastikan keberkesanan dan kecekapan pengurusan laluan penerbangan.
Beliau berkata ia sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia, yang dilancarkan Ogos lalu.
"Kerana dengan adanya ruang udara yang lebih efisien, mereka boleh mendarat dengan lebih cepat. Tidak perlu mengambil satu laluan yang lebih panjang. Dan tidak perlu berlegar di atas ruang udara dengan lebih lama.
"Jadi ini sesuatu yang sangat penting kerana dengan menjimatkan masa untuk mereka mendarat, setiap minit yang dijimatkan itu ialah bukan sahaja mengurangkan 'carbon emission', tetapi mengurangkan kos," katanya.