fb fb fb fb fb

Tiada halangan berhimpun tapi perlu serah notis kepada PDRM

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Semua perhimpunan awam perlu dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lima hari sebelum ia dianjurkan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Menurut beliau, sebagai sebuah negara demokrasi, kerajaan memberi hak dan kebebasan bersuara kepada semua rakyat, termasuk menganjurkan atau menyertai perhimpunan aman.

Bagaimanapun, hak itu perlu disertai dengan tanggungjawab untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan, terutamanya di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

"PDRM bertanggungjawab mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan perhimpunan dijalankan dengan teratur mengikut Akta 736 dan undang-undang lain yang berkaitan.

"Notis perhimpunan di bawah Seksyen 9 (1) Akta 736 perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, termasuklah butiran terperinci mengenai penganjuran perhimpunan, anggaran bilangan peserta, dan pelantikan individu bertanggungjawab bagi memastikan perhimpunan dijalankan dengan teratur," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (Raub) mengenai keperluan permit daripada PDRM untuk penganjuran perhimpunan awam.

GRACE AISYAH KEDAYAN