KUALA LUMPUR, 27 Ogos- Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah Sesyen hari ini agar bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Kuala Lumpur.
Permohonan itu dibuat kepada Hakim Azura Alwi selepas meneliti laporan perubatan dari Hospital Assunta dikemukakan kepada mahkamah yang menyentuh tentang keadaan Tun Daim mengalami strok berganda menyebabkan pendarahan otak sejak Januari 2024.
Bagaimanapun, Peguam Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Daim membantah permohonan tersebut alasan anak guamnya hanya mengalami kelemahan fizikal dan bukannya masalah berkaitan mental.
Mahkamah menetapkan tarikh 17 Oktober depan bagi pendengaran permohonan Daim dan isterinya Toh Puan Na'imah Khalid, untuk merujuk persoalan perlembagaan berkaitan pertuduhan dihadapi mereka ke Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, Hakim Azura turut menolak permohonan Daim untuk memindahkan kesnya untuk didengar oleh hakim Mahkamah Sesyen lain.
Ia berhubung permohonan Daim pada 7 Mei untuk memindahkan kes atas alasan terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan dan prejudis terhadapnya kerana kes isterinya juga didengar di hadapan hakim sama.
Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Manakala, isterinya Toh Puan Na'imah, 67, pula didakwa pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.