fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia Terengganu guna pendekatan penguatkuasaan baharu

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@Razali

SETIU, 27 Ogos- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu akan melaksana pendekatan dan kaedah baharu dalam aspek penguatkuasaan.

Tindakan itu susulan dua anggotanya yang cedera diserang sekumpulan nelayan asing semasa sedang membuat pemeriksaan, tempoh hari.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@Razali berkata prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaannya akan diperkenal dalam masa terdekat bagi memastikan perkara sama tidak akan berulang.

Minggu lalu, dua penguat kuasa Maritim Malaysia cedera manakala seorang lagi jatuh ke laut selepas berlaku pergelutan dengan sekumpulan nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan negara.

"Kita sudah berbincang semula dan laksana pendekatan baharu terhadap SOP kita dalam menjalankan operasi menggeledah dan penahanan."

"Ia susulan kes terdahulu ketika pemeriksaan bot warga asing, hingga membabitkan kecederaan anggota kita," kata Mohd Khairulanuar kepada pemberita selepas mengedarkan Jalur Gemilang kepada komuniti setempat, bot pelancong dan penumpang di Kampung Mangkuk, Setiu.

Mengulas lanjut, beliau berkata rondaan di perairan Terengganu akan dijalankan seperti biasa dengan tahap waspada yang lebih tinggi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM