fb fb fb fb fb

Sembilan lagi NADI akan beroperasi di Melaka sebelum akhir 2024

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan

MELAKA, 27 Ogos - Sebanyak 39 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan beroperasi di Melaka sebelum akhir tahun ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, setakat ini terdapat 30 NADI telah beroperasi dan sembilan lagi dalam proses pelaksanaan.

Masing-masing 14 NADI di daerah Alor Gajah, 11 di daerah Jasin dan lima di daerah Melaka Tengah.
 
"Untuk rekod pada tahun 2024 ini kerajaan negeri Melaka menerima sembilan nadi yang baru, jadi satu insya-Allah bulan September akan dimulakan operasinya manakala lapan lagi dalam proses semakan perjanjian antara kerajaan negeri dan Telco yang taja," kata Fairul Nizam.
 
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di sekitar negeri Melaka sesi ketiga di Japerun Paya Rumput.
 
Fairul Nizam optimis perkhidmatan NADI yang dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 237 aduan berkaitan isu kualiti perkhidmatan selular diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka sejak Januari tahun ini.
 
Daripada jumlah itu 200 aduan berjaya diselesaikan dan bakinya masih dalam siasatan.
 
Fairul Nizam turut menegaskan pihaknya sentiasa mengambil serius mengenai isu melibatkan capaian komunikasi di negeri ini.
 
Setakat Julai, sembilan notis pematuhan dikeluarkan kepada penyedia perkhidmatan komunikasi kerana gagal mematuhi Standard Mandatori ditetapkan.
 
"Yang paling penting pengadu perlu telus dan jujur jangan melindung nama pengadu alamat dan nombor telefon. Ini kerana pihak MCMC mahu hubungi semula tuan-tuan dan sekiranya pengadu menggunakan nama di media sosialnya untuk aduan, jadi agak sukar untuk sampaikan maklumat kepada MCMC," katanya.

TETITIA YUSOFF