fb fb fb fb fb

Tindakan ke atas Muhyiddin, tidak tergesa-gesa - KPN

Foto Fail

KUALA KRAI, 27 Ogos- Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menafikan dakwaan siasatan berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, dilakukan secara tergesa-gesa.

Sebaliknya tegas beliau, proses terbabit dilakukan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan manakala arahan pertuduhan pula datang daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Tan Sri Razarudin berkata bagi kes siasatan melibatkan 3R (raja, agama dan kaum) perlu selesai dalam tempoh tujuh hari, sebelum tindakan selanjutnya diambil.

"Tidak ada kena mengena tergesa-gesa. Kalau kata hari ini siasat, esok tuduh, mungkin tergesa-gesa."

"Memang kita mengambil tindakan mengikut masa yang ditetapkan. Kalau tidak ada yang kata kita lambat pula. Bila kita cepat, ini cakap tergesa-gesa pula," kata Razarudin kepada pemberita selepas merasmikan Program Peluncuran Kampung Angkat MADANI Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Jenal, Dabong, Kuala Krai.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun.

Mengulas lanjut, Tan Sri Razarudin berkata untuk tempoh Mac tahun lalu sehingga Ogos 2024, sebanyak 178 kes melibatkan 3R direkodkan, dengan 18 daripadanya telah didakwa di mahkamah manakala 53 kes lagi masih dalam tindakan polis sebelum di rujuk kepada pihak Peguam Negara.

170 kes daripada jumlah itu disiasat pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman manakala selebihnya dibawah siasatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri-negeri.

Tan Sri Muhyiddin hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang susulan ucapannya didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Gua Musang baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata 151 Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di seluruh negara khususnya di kawasan sempadan diperketat bagi mengekang penularan virus Cacar Monyet atau MPOX.

Bagaimanapun, pada masa sama, tumpuan tetap diberikan bagi kes-kes penyeludupan barangan terlarang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM