(Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebas Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada dua pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Tan Sri Muhammad Shafee.
Dua daripada empat pertuduhan terbabit, melibatkan aktiviti pengubahan wang haram bernilai RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dua pertuduhan lagi, membabitkan transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.
(Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur)