fb fb fb fb fb

Pendaki wanita letih terkandas di Kem Berlumut berjaya diselamatkan

LIPIS, 30 Julai- Seorang wanita berusia 39 tahun yang terkandas di Kem Berlumut, Gunung Tahan akibat terlalu penat meneruskan pendakian, berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Gua Musang, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata wanita itu, Nadia Azmi dari Putrajaya bersama 21 orang pendaki lain memulakan ekspedisi mendaki pada 27 Julai lalu melalui Merapoh.

"Pendakian dipandu tiga orang Malim Gunung dari Kuala Juram ke Kem Berlumut yang mengambil jarak lebih kurang 21 kilometer.

"Ia terhenti ekoran salah seorang daripada kumpulan tersebut hilang upaya meneruskan pendakian," katanya.

Wanita berkenaan berjaya dibawa keluar menggunakan helikopter oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebelum mendarat di Balai Bomba Gua Musang untuk dibawa ke hospital bagi rawatan susulan.

Terdahulu, seramai 5 anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) telah naik ke Kem Berlumut untuk memberi bantuan awal kepada mangsa.

(Usaha membawa keluar wanita berkenaan menggunakan helikopter
oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM)

Media Baharu