fb fb fb fb fb

Barangan jenama COOP mula dijual September, lebih murah hingga 25 peratus - Noh Omar

SERI KEMBANGAN, 30 Julai - Sebanyak lima barangan keperluan asas jenama COOP, membabitkan gula, minyak masak, tepung, beras dan ayam beku, akan mula dipasarkan pada September ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata jenama di bawah inisiatif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu dijangka lebih murah antara 10 hingga 25 peratus berbanding harga pasaran setempat.

Kesemua barangan keperluan asas itu diimport dari negara seperti Thailand, Indonesia, Pakistan, India dan Brazil bagi mengurangkan peranan dan penglibatan orang tengah.

(Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar)

"Di peringkat permulaan, kita akan memasarkan di kedai koperasi yang ada di dalam negara ini, lebih kurang 3,000 koperasi, dan itu untuk peringkat pertama.

"Untuk peringkat kedua, kalau kita tengok perkara ini mendapat sambutan, kita akan jual juga di luar kedai koperasi tetapi dengan tanda perniagaan COOP. Tetapi harga COOP ini akan dikawal oleh SKM. Kalau kita dapat laporan mana-mana yang menjual barang yang menggunakan tanda perniagaan COOP ini tidak mengikut arahan yang ditentukan oleh SKM, maka kita boleh membatalkan mereka ini sebagai pengedar kita," katanya.

Tan Sri Noh berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Buku 100 Tahun Gerakan Koperasi dan Program Eksplorasi CoopUmrah di Majlis Ekspo Koperasi Malaysia dan Hari Koperasi Negara 2022 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), di sini.

Tambah Noh, ketika ini COOP hanya menawarkan lima jenis barangan keperluan asas itu, namun tidak menolak kemungkinan untuk memperluas ke beberapa barangan lain sekiranya mendapat sambutan.

Media Baharu