LIPIS, 23 Januari- Mayat seorang pendaki lelaki yang lemas di Sungai Tanum, Taman Negara Sungai Relau, Merapoh telah ditemukan pada pukul 11.20 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, mayat Haniff Harun, 47 tahun ditemukan kira-kira 300 meter dari tempat dia mula terjatuh.
"Operasi mencari dan menyelamat bermula kira-kira pukul 3.00 petang semalam selepas menerima maklumat kejadian itu dan disambung semula pada hari kedua mulai pukul 9.00 pagi tadi sehinggalah mayat mangsa ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam kejadian semalam, mangsa yang beralamat Kampung Paloh Haji Daud, Terengganu antara 10 pendaki yang mula mendaki Gunung Tahan melalui Kuala Juram, Merapoh pada Jumaat lalu.
Mangsa jatuh dan lemas di Sungai Tanum dalam kawasan Taman Negara Sungai Relau setelah kumpulan tersebut berpatah balik ke Kuala Juram berikutan hujan turun dengan lebat.
Mayat kemudian dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.
(Dalam kejadian semalam, mangsa yang beralamat Kampung Paloh Haji Daud,
Terengganu antara 10 pendaki yang mula mendaki Gunung Tahan
melalui Kuala Juram, Merapoh pada Jumaat lalu)