fb fb fb fb fb

Dasar Perumahan Negara dikaji semula - KPKT

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 23 Januari - Dasar Perumahan Negara sedia ada akan dikaji semula berdasarkan rangkuman intisari Madani agar dapat diterjemahkan kepada nilai kesejahteraan dan keseimbangan untuk semua kumpulan rakyat Malaysia.

Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan, melalui dasar perumahan baharu itu dan perancangan yang lebih teratur, kementerian percaya sasaran untuk penyediaan 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025 dengan kerjasama semua agensi perumahan di peringkat Persekutuan, negeri dan pemaju swasta, boleh dicapai.

(Dasar Perumahan Negara yang baharu akan mengambil kira pelbagai keperluan
rakyat mengikut acuan budaya, adat resam, agama dan senario
rakyat berbilang kaum di negara ini / FOTO HIASAN)

“KPKT bersedia mengkaji inisiatif sedia ada, mencari insentif baharu dan memudah cara semua bentuk prosedur dalam kelulusan pemajuan perumahan supaya dapat memberi ruang kepada pemaju swasta bergiat aktif dalam menyediakan perumahan mampu milik berkualiti dan selesa untuk rakyat,” kata KPKT menerusi kenyataan.

Tambah KPKT, beberapa contoh dasar perumahan di negara lain termasuk negara jiran seperti Singapura akan dilihat terutamanya dalam aspek pengurusan perumahan awam dan mampu milik, berdasarkan kejayaan negara itu menyediakan perumahan awam atau sosial untuk 80 peratus rakyatnya tanpa mengira bangsa.

KPKT berkata, Dasar Perumahan Negara yang baharu kelak akan mengambil kira pelbagai keperluan rakyat mengikut acuan budaya, adat resam, agama dan senario rakyat berbilang kaum di negara ini.

Menurut KPKT, kementerian turut bercadang mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama pakar perumahan dari Singapura bagi mengukuhkan strategi pembangunan perumahan negara berpaksikan kerangka dasar Madani yang menerapkan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Media Baharu