GEORGE TOWN, 23 Januari- Sejumlah 823 ketulan mampat dadah jenis ganja bernilai RM2.1 juta dirampas dalam beberapa serbuan di Pulau Pinang dan Perak pada Khamis lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya turut menahan tujuh lelaki termasuk seorang penjawat awam dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.
Jelas beliau, operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pulau Pinang itu dilakukan hasil maklumat dan risikan sejak beberapa minggu lalu.
"Penahanan bermula pada 6.45 pagi ke atas tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta di Plaza Tol Bagan Ajam, Butterworth.
Hasil penahanan mereka, polis menyerbu kawasan parkir kenderaan di Bukit Jambul, di sini, kira-kira 25 minit kemudian dan merampas sejumlah ganja seberat 479.729 kilogram bernilai RM1.1 juta yang disimpan di dalam sebuah kereta,” katanya pada sidang media di sini.
(Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, Ketua Polis Pulau Pinang)
Tambah beliau, polis turut menahan sebuah kenderaan di Plaza Tol Changkat Jering, Perak pada pukul 7.44 pagi dan menahan tiga lagi lelaki di situ.
Polis kemudian menyerbu kawasan Persiaran Mahsuri, Bayan Baru pada 2.00 petang dan memeriksa sebuah kereta yang diparkir di situ lalu menemukan 10 guni plastik mengandungi 361 kilogram dadah disyaki ganja.
Susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Air Itam, di sini dan menahan seorang lagi lelaki pada 3.20 petang.
"Siasatan awal mendapati semua ganja pelbagai gred termasuk paling berkualiti itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan. Sindiket tersebut yang mempunyai rangkaian sindiket luar negara menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun lepas," katanya.
Beliau memberitahu, kesemua lelaki yang ditahan berusia 24 hingga 29 tahun dengan ada dalam kalangan mereka bekerja sebagai pemandu kenderaan, jurutera, juruteknik komputer, peniaga dalam talian serta penganggur.